KUCHING: Ketua Menteri bersetuju dan menyokong cadangan supaya Sarawak memiliki sebuah badan yang bertanggungjawab untuk mengurus dan menggalakkan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu untuk menghasil produk berinovatif.
Justeru, beliau berpandangan kakitangan awam perlu mencari kaedah menghasilkan produk lebih baik atau perkhidmatan sama ada melalui modifikasi atau penambahbaikan yang boleh memberi impak dan meningkatkan mutu dan produktiviti sesebuah organisasi dan hidup rakyat.
Idea inovasi itu boleh diperoleh daripada pelbagai sumber sama dalam atau luar organisasi atau melalui proses R&D, katanya pada majlis penyampaian Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2021 dan penutupan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak 2021 di Kompleks DUN di sini, hari ini.
R&D sangat penting bagi sesebuah organisasi untuk menghasil produk baharu dan produk berinovatif yang boleh diguna pakai mengikuti keperluan jabatan atau agensi berkenaan, tegas beliau.
Produk yang berinovatif boleh dinilai tambah terhadap produk sekarang serta membuat transformasi kepada budaya kerja sedia ada, katanya.
Terdahulu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion berkata, cadangan menubuhkan badan R&D itu amat penting bagi Sarawak untuk bergerak mencapai hasrat rakyat sejahtera melalui data dan inovasi menjelang 2030.
Penubuhan itu, katanya, akan membantu produk inovatif lebih mampan, dibangunkan dan diseragamkan malah dikomersialkan, melalui kerjasama antara sektor awam dan sektor pada masa depan.
Ketua Menteri turut menyambut baik usaha Jaul menggalak semua menteri mengadakan Konvensyen Mini Kumpulan Inovatif dan Kreatif dalam agensi di bawah jagaan masing-masing dengan bantuan Unit Pemodenan Perkhidmatan Awam Negeri (UPPN) untuk meningkatkan budaya inovasi dalam kalangan kakitangan awam.
GAMBAR:JAPEN SARAWAK
Sumber dari : Jiwa Bakti